Firman Allah Taala, maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah
mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya): gementarlah hati
mereka (kerana takut melanggar laranganNya), dan apabila dibacakan kepada
mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka
jualah mereka berserah;
"Mereka juga mendirikan
sembahyang dan mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepadanya;
"Merekalah orang-orang yang
beriman dengan sebenar-benarnya (dan dengan sempurnanya) (2-4 Al-Anfal),
Hadis Keempat Belas
14- عَنْ أَنَسٍ
قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ
حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ
مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ. (البخاري ومسلم)
14 - Dari Anas r.a., katanya:
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu
sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya,
anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang keempat belas ini
menegaskan bahawa:
Hakikat iman seseorang tidak akan
sempurna melainkan apakala ia mengutamakan kasihnya kepada Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
Sebagaimana yang sedia maklum
bahawa sebab-sebab yang menjadikan seseorang tertarik hatinya menghargai,
suka, berkenan atau kasih kepada sesuatu
perkara atau seseorang ada kalanya kerana sesuatu perkara atau seseorang itu
memberi:
1) Keseronokan atau kesedapan
kepada pancainderanya, seperti rupa yang cantik, suara yang merdu, bau yang harum, makanan
atau minuman yang lazat, dan pakaian atau tubuh badan yang halus lembut;
2) Ketenteraman dan kesukaan
kepada jiwa dan fikirannya, seperti amal ibadat yang salih, budi bahasa yang
mulia dan ilmu pengetahuan yang berguna;
3) Keselamatan dan kebahagiaan
kepada keadaan hidupnya dunia dan akhirat, seperti harta benda, anak pinak,
kaum keluarga dan kawan teman.
Kalau salah satu dari sebab-sebab
itu menjadi daya penarik hati seseorang maka tentulah lebih kuat dan lebih
mendalam tertariknya hati seseorang itu kepada sesuatu perkara atau seseorang
yang ia percaya ada padanya semua sebab-sebab yang tersebut dan tidak terhimpun
sebab-sebab daya penarik itu pada makhluk yang lain daripada junjungan kita
Nabi Muhammad s.a.w.
Oleh yang demikian tidak sempurna
iman seseorang selagi ia tidak cinta kasih kepada Rasulullah s.a.w., tidak suka
dan tidak berkenan kepada apa yang dibawanya dan tidak menghargai
ajaran-ajarannya.Sebenarnya cinta kasih kepada Rasulullah s.a.w. ialah suka dan
berkenan mematuhi suruhannya dan meninggalkan larangannya.
Seseorang - walau sesiapa pun -
apabila ia mengetahui sesuatu perkara yang dapat menarik hati dan keredhaan
orang yang dikasihinya seperti isterinya atau sahabatnya atau ketuanya, tak
dapat tidak ia akan melakukan perkara itu dan menyempurnakannya. Maka bagi
orang yang cinta kasih kepada Rasulullah s.a.w. sudah tentu tidak ada sesuatu
perkara pun sama ada dari urusan dunia atau agama yang wajib disegerakan
mengerjakannya lebih daripada melakukan apa yang disukai dan diredhai oleh
Rasulullah s.a.w.
Suka dan berkenan yang tersebut
adalah dan kewajipan agama yang diterangkan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an
al-Karim, ayat 24, surah At-Taubah, yang maksudnya:
"Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara
kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan
harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi
perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada)
berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab siksaNya), kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada
orang-orang yang fasik. "
Hadis Kelima Belas
15- عَنْ أَنَسٍ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ
النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ
أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ
مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. (البخاري
ومسلم)
15 - Dari Anas ra., dari Nabi
s.a.w., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga ia
suka saudaranya mendapat (kebaikan seperti) apa yang ia sendiri suka
mendapatnya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelima belas ini
menerangkan bahawa:
Tidak sempurna iman seseorang
yang tidak mempunyai perasaan timbang rasa persaudaraan sesama manusia.
Huraiannya:
Islam mahukan masyarakat yang
bersatu padu dan perpaduan yang demikian tidak akan wujud melainkan dengan
adanya perhubungan yang baik yang menghubungkan orang-orang perseorangan antara
satu dengan yang lain dan menghubungkan mereka dengan masyarakat seluruhnya!
Sebaik-baik asas yang menjamin
keselamatan dan kemajuan bagi masyarakat dan menjamin kehidupan yang aman
bahagia - ialah: "Hendaklah tiap-tiap seseorang dari mereka sukakan
kebaikan bagi orang lain sebagaimana ia menyukainya bagi dirinya sendiri."
Ada di antara manusia yang
sukakan dirinya sahaja dan tidak memikirkan orang yang menderita sakit pening,
kemiskinan dan duka nestapa. Jenis manusia yang demikian tidak
mengakui persahabatan pertalian kaum kerabat dan maruah kecuali jika ia ada
mempunyai sesuatu faedah disebaliknya.
Kebaikan pada pandangannya ialah
yang membawa faedah kepadanya walaupun faedah itu haram; dan kejahatan pada pandangannya ialah perkara
yang menyebabkan dia mengeluarkan tenaga dan harta benda, sekalipun perkara itu
mendatangkan faedah kepada anak-anak watannya, atau sahabat-sahabatnya atau pun
kaum kerabatnya.
Ada kalanya dia bertambah
perasaan tamak halobanya, sehingga dia memandang dirinya sahajalah yang berhak
mendapat kebaikan dan orang lain tidak berhak mendapat sesuatu pun, lalu dia
berusaha untuk mendapat segala-galanya, sekalipun benda-benda itu dari harta
benda orang-orang miskin dan makanan orang-orang yang dhaif lemah.
Jenis manusia ini, yang hidup
untuk kepentingan dirinya semata-mata dimurkai Allah Taala, dibenci oleh Islam
dan disifatkan akhlaknya yang demikian, terkeluar dan dasar Islam. Ada pun jenis manusia yang
dikasihi Allah dan diredhai oleh masyarakat - ialah orang yang hidup untuk
dirinya dan untuk orang lain dan sentiasa memikirkan kebaikan umat manusia
sebagaimana ia memikirkan kebaikan dirinya sendiri, kerana sikap yang demikian
adalah dari iman yang sempurna.
Cinta kasih kepada umat manusia
yang tidak memusuhi Islam dan pelaksanaan tanggungjawab terhadapnya - itulah
yang menguatkan perhubungan sesama manusia sekalipun berlainan bangsa dan agama
dan itulah jua yang menghapuskan banyak di antara kejahatan-kejahatan dan
perbuatan yang durjana.
Seseorang yang mengikat
perhubungannya dengan orang lain berdasarkan asas yang tersebut ialah orang
yang bersih suci hatinya dan segala sifat yang keji, seperti hasad dengki, dendam kesumat, sombong angkuh dan sebagainya. Orang itu
ialah juga orang yang waras fikiran dan kesedarannya, serta menjadi anggota
masyarakat yang baik dan berguna.
Hadis Keenam Belas
16- عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يُؤْمِنُ
أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ
تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ.
(الأربعين النووية)
16 - Dari Abdullah bin `Amr r.a.,
dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu,
sehingga hawa nafsunya tunduk menurut hukum-hukum dan pengajaran yang aku telah
membawanya."
(Al-Arba'in An-Nawawiyah).
Hadis yang keenam belas ini menerangkan
bahawa:
Sempurnanya iman seseorang adalah
dengan menurut bulat-bulat apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Huraiannya:
Junjungan kita Muhammad
s.a.w. bukan sahaja seorang penganjur
yang terkemuka bahkan Baginda juga seorang Rasul yang memimpin umat manusia
dengan berpandukan wahyu dan Allah `Azza wa Jalla.
Oleh itu maka setiap orang
hendaklah meletakkan kepercayaannya kepada Rasulullah s.a.w. lebih daripada
kepercayaannya kepada diri sendiri dan apa yang dibawa oleh Baginda tidak boleh
ditentang dengan apa yang difikirkan dan dipersetujui oleh diri masing-masing
kerana segala yang disampaikan oleh Baginda dan Tuhan bukan untuk
dicuai-cuaikan dan bukan pula untuk dijadikan suatu perkara yang diserahkan
kepada perasaan dan runtunan hawa nafsu;
bahkan untuk dipatuhi dengan perasaan tenang hati serta persetujuan yang
sebulat-bulatnya.
Orang yang mengutamakan fikiran
atau pendapat dirinya daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. maka
imannya tidak sempurna. Demikian juga
sesiapa yang memutar belitkan atau melakukan ta'wilan-ta'wilan terhadap
ajaran-ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. untuk menyesuaikannya
dengan kemahuan atau fikirannya sendiri maka nyatalah imannya tidak sempurna.
Oleh itu, jika ada yang terdorong
berbuat demikian, maka segeralah rujuk ke jalan yang benar, semoga ia selamat di dunia dan di akhirat.
Hadis Ketujuh Belas
17- عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الزَّانِي
حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ
وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ
مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ
يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا
يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيهَا أَبْصَارَهُمْ حِينَ
يَنْتَهِبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ. (البخاري
ومسلم)
17 - Dari Abu Hurairah, r.a.,
dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan
melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang
hendak meminum arak, tidak akan meminum
arak itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak
mencuri, tidak akan melakukan perbuatan
itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang melakukan rompakan
yang lazimnya menjadikan orang yang dirompak itu memandang sahaja kepadanya,
tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang ketujuh belas ini
menegaskan bahawa:
Orang yang tergamak melakukan
sesuatu yang dilarang, tidak sempurna imannya.
Huraiannya:
Kebahagiaan hidup seseorang atau
sesuatu bangsa adalah bergantung kepada pertalian keturunannya yang bersih
serta berkekalan dan keselamatan akal fikirannya serta harta bendanya.Untuk mencapai kebahagiaan hidup
itu maka perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan hendaklah dijauhi dan
perbuatan meminum arak atau menghisap benda-benda yang merosakkan akal fikiran
hendaklah disingkirkan, juga perbuatan curi dan rompak samun hendaklah
dihapuskan.
Dengan wujudnya pertalian
keturunan yang bersih dan berpanjangan itu wujudlah pula perasaan pertalian
kaum kerabat dan kebangsaan yang dengan kekuatan dan pengaruhnya seseorang itu
akan mendapat kekuatan untuk mencegah sebarang bahaya yang akan menimpanya dan
wujudlah pula hubungan tolong-menolong dengan jalan pertalian kerabat dan
semangat kebangsaan dalam segala urusan hidup, kerana biasanya seseorang itu
apabila ditimpa sesuatu kesusahan yang menjadikan dia memerlukan bantuan, ia
tidak mendapati bantuan itu melainkan dari orang-orang yang ada pertalian
keturunan dengannya, maka dengan wujudnya pertalian keturunan dan kerabat yang
suci dan sihat, eloklah keadaan segala lapisan masyarakat dan tenteramlah
keadaan negara.
Demikian juga dengan
terselamatnya akal fikiran dari sebarang perkara yang merosakkannya, dapatlah
manusia menimbang dan mengenal mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang hak dan mana yang batil dan
dapatlah pula memikirkan soal-soal ketuhanan serta soal iman dan taqwa.Demikian
pula dengan terselamatnya harta benda yang menjadi asas kehidupan seseorang,
akan dapatlah ia memajukan segala urusan dunia dan agama dengan sempurna.
Kebenaran hakikat ini diakui oleh
ahli-ahli fikir yang bijak pandai,
bahkan semua agama yang diturunkan oleh Allah Taala bertujuan menjaga
perkara-perkara yang tersebut dari apa juga yang merosakkannya.Malangnya
perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan, perbuatan meminum arak yang merosakkan akal
fikiran, dan perbuatan curi rompak yang memusnahkan hak milik orang lain dengan
tidak berperi kemanusiaan - dilakukan dengan bermaharajalela bukan sahaja oleh
orang-orang yang jahil bahkan juga orang-orang yang terpelajar.
Berlakunya yang demikian adalah
disebabkan ketiadaan atau kelemahan iman dan dengan itu mudahlah mereka
dipengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan keadaan buruk yang disekelilingnya.Untuk
mencegah perbuatan-perbuatan yang durjana itu, tidak lain melainkan dengan
jalan yang memelihara dan menghidupkan iman yang kukuh dan sempurna.
Hadis Kelapan Belas
18- عَنْ عَبْدِ
اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ
اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ مَنْ
سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ.
(مسلم)
18 - Dari Abdullah bin `Amr r.a.,
dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang Muslim (yang sempurna Islamnya)
ialah yang terselamat orang-orang Islam dari lidahnya dan tangannya.
(Muslim)
Hadis yang kelapan belas ini
menerangkan bahawa:
Orang-orang yang sempurna
Islamnya tidak melakukan sebarang angkara.
Huraiannya:
Perkataan "Islam" ialah
pecahan dari perkataan "Salam" ertinya: Selamat sejahtera.
Orang Islam yang sebenar-benarnya
- selain daripada menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya - ia tidak
sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang
yang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan
tangannya atau pun dengan apa jua.Sebaliknya orang Islam yang tergamak
melakukan sebarang perkara yang merosakkan orang lain, ialah orang yang tidak
sempurna Islamnya.
Hakikat ini dijelaskan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadisnya yang bermaksud:
"Orang-orang yang sempurna
Islamnya adalah bersaudara dengan semua orang yang tidak memusuhinya terutama
sekali orang-orang Islam); salah seorangnya tidak harus melakukan kezaliman
kepada saudaranya, tidak harus dibiarkan dia teraniaya dan tidak dibela, tidak
harus menyatakan kepadanya sesuatu yang dusta dan juga tidak harus menghinakan
atau memandang rendah kepadanya."
Hadis Kesembilan Belas
19- عَنْ أَبِي
هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ
الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ.
(الترمذي وغيره)
19- Dari Abu Hurairah, r.a., Dari
Nabi s.a.w. sabdanya: "Sebahagian dan keelokan dan kesempurnaan Islam
seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang tidak perlu
kepadanya."(Tirmizi dan Lain-Lainnya).
Hadis yang kesembilan belas ini
menerangkan tentang;
Sebahagian dari kesempurnaan
Islam.
Huraiannya:
Manusia dalam alam kehidupan ini
menghadapi perkara-perkara yang wajib dilakukannya dan yang mesti ditinggalkan.
Perkara-perkara yang wajib dilakukannya
itu ada yang untuk masa hidupnya di dunia dan ada yang untuk hidupnya di
akhirat.
Untuk masa hidupnya di dunia
ialah makan minum, pakal patut,
berumahtangga, beranak pinak dan sebagainya dan untuk hidup di akhirat pula
ialah segala amal ibadat yang ditentukan mengerjakannya.
Ada pun perkara-perkara yang
mesti ditinggalkan ialah segala perkara yang tidak meluputkan dia dari mendapat
pahala atau faedah dan tidak pula mendatangkan sebarang mudarat kepadanya jika
ia tidak melakukannya.
Dengan tercantumnya
perkara-perkara yang wajib dilakukan dan yang mesti ditinggalkan maka
sempurnalah Islam seseorang itu.
Rujukan: http://www.islamgrid.gov.my/hadith/detailed.