Secara etimologi, tafsir boleh bererti: الايضاح والبيان (penjelasan), الكشف (pengungkapan) dan المشكل كشف المراد عن اللفظ (menjabarkan kata yang samar ). [1] Adapun secara terminologi (istilah) tafsir adalah penjelasan terhadap Kalamullah atau menjelaskan lafadz-lafadz Al-Quran dan pemahamannya. [2]
Ilmu tafsir merupakan ilmu yang paling mulia dan paling tinggi kedudukannya, kerana pembahasannya berkaitan dengan Kalamullah yang merupakan petunjuk dan pembeza dari yang haq dan bathil.
Ilmu tafsir telah dikenali sejak zaman Rasulullah dan berkembang hingga ke zaman moden sekarang ini. Adapun perkembangan ilmu tafsir dibahagi menjadi empat zaman iaitu :
Pertama: Tafsir Pada Zaman Nabi.
Al-Quran diturunkan dengan bahasa Arab sehingga majoriti orang Arab mengerti makna dari ayat-ayat al-Quran. Sehingga banyak di antara mereka yang masuk Islam setelah mendengar bacaan al-Quran dan mengetahui kebenarannya. Akan tetapi tidak semua sahabat mengetahui makna yang terkandung dalam al-Quran, antara satu dengan yang lainnya sangat variatif dalam memahami isi dan kandungan al-Quran.
Sebagai orang yang paling mengetahui makna al-Quran, Rasulullah selalu memberikan penjelasan kepada sahabatnya, sebagaimana firman Allah, "keterangan-keterangan (mu’jizat) dan kitab-kitab. Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkan." (QS. 16:44).
Contohnya hadits yang diriwayatkan oleh Muslim dari Uqbah bin Amir berkata : "Saya mendengar Rasulullah berkhutbah di atas mimbar membaca firman Allah : وأعدوا لهم ما استطعتم من قوة ("Persiapkanlah apa saja yang kalian sanggupi dari kekuatan"), kemudian Rasulullah bersabda : ألا إن القوة الرمي ("Ketahuilah bahawa kekuatan itu pada memanah").
Juga hadits Anas yang diriwayatkan Bukhori dan Muslim, Rasulullah bersabda tentang "Al-Kautsar adalah sungai yang Allah janjikan kepadaku (nanti) di syurga".
Tafsir Pada Zaman Sahabat
Adapun kaedah sahabat dalam menafsirkan al-Quran adalah :
(1) Menafsirkan Al-Quran dengan Al-Quran.
(2) Menafsirkan Al-Quran dengan sunnah Rasulullah.
(3) atau dengan kemampuan bahasa, adat apa yang mereka dengar dari Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang masuk Islam dan telah bagus keislamannya.
Diantara tokoh mufassir pada masa ini adalah: Khulafaur Rasyidin (Abu Bakar, Umar, Utsman, Ali), Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas'ud, Ubay bin Ka'ab, Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair dan Aisyah. Namun yang paling banyak menafsirkan dari mereka adalah Ali bin Abi Thalib, Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Abbas yang mendapatkan doa dari Rasulullah.
Penafsiran sahabat yang didapatkan dari Rasulullah kedudukannya sama dengan Hadist Marfu'. [3] Atau paling kurang adalah Mauquf. [4]
Tafsir Pada Zaman Tabi'in
Kaedah penafsiran yang digunakan pada masa ini tidak jauh berbeza dengan masa sahabat, kerana para tabi'in mengambil tafsir dari mereka.
Dalam zaman ini muncul beberapa madrasah untuk kajian ilmu tafsir di antaranya:
(1) Madrasah Makkah atau Madrasah Ibnu Abbas yang melahirkan mufassir terkenal seperti Mujahid bin Jubair, Said bin Jubair, Ikrimah Maula ibnu Abbas, Towus Al-Yamany dan 'Atho' bin Abi Robah.
(2) Madrasah Madinah atau Madrasah Ubay bin Ka'ab, yang menghasilkan pakar tafsir seperti Zaid bin Aslam, Abul 'Aliyah dan Muhammad bin Ka'ab Al-Qurodli
(3) Madrasah Iraq atau Madrasah Ibnu Mas'ud, diantara murid-muridnya yang terkenal adalah Al-Qomah bin Qois, Hasan Al-Basry dan Qotadah bin Di'amah As-Sadusy.
Tafsir yang disepakati oleh para tabi'in boleh menjadi hujjah, sebaliknya bila terjadi perbezaan di antara mereka maka satu pendapat tidak boleh dijadikan dalil atas pendapat yang lainnya. [5]
Tafsir Pada Masa Pembukuan
Pembukuan tafsir dilakukan dalam lima zaman iaitu :
(1) Pada zaman Bani Muawiyyah dan permulaan zaman Abbasiyah yang masih memasukkan ke dalam sub bahagian dari hadits yang telah dibukukan sebelumnya.
(2) Pemisahan tafsir dari hadits dan dibukukan secara terpisah menjadi satu buku tersendiri.
Dengan meletakkan setiap penafsiran ayat di bawah ayat tersebut, seperti yang dilakukan oleh Ibnu Jarir At-Thobary, Abu Bakar An-Naisabury, Ibnu Abi Hatim dan Hakim dalam tafsirannya, dengan mencantumkan sanad masing-masing penafsiran sampai ke Rasulullah, sahabat dan para tabi'in.
(3) Membukukan tafsir dengan meringkas sanadnya dan menukil pendapat para ulama tanpa menyebutkan orangnya. Hal ini menyulitkan dalam membezakan antara sanad yang shahih dan yang dhaif yang menyebabkan para mufassir berikutnya mengambil tafsir ini tanpa melihat kebenaran atau kesalahan dari tafsir tersebut.
Sampai terjadi ketika mentafsirkan ayat غير المغضوب عليهم ولاالضالين ada sepuluh pendapat, padahal para ulama tafsir sepakat bahawa maksud dari ayat tersebut adalah orang-orang Yahudi dan Nasrani.
(4) Pembukuan tafsir banyak diwarnai dengan buku-buku terjemahan dari luar Islam. Sehingga kaedah penafsiran bil aqly (dengan akal) lebih dominan dibandingkan dengan kaedah bin naqly (dengan periwayatan). Pada zaman ini juga terjadi spesialisasi tafsir menurut bidang keilmuan para mufassir. Pakar fiqih menafsirkan ayat Al-Quran dari segi hukum seperti Al-Qurtuby.
Pakar sejarah melihatnya dari sudut sejarah seperti ats-Tsa'laby dan Al-Khozin dan seterusnya.
(5) Tafsir maudhu'i iaitu membukukan tafsir menurut suatu pembahasan tertentu sesuai disiplin bidang keilmuan seperti yang ditulis oleh Ibnul Qoyyim dalam bukunya At-Tibyan fi Aqsamil Al-Quran, Abu Ja'far An-Nukhas dengan Nasikh wal Mansukh, Al-Wahidi Dengan Asbabun Nuzul dan Al-Jashshosh dengan Ahkamul Quran-nya.
[1] Adz-Dzahabi, at-Tafsir wa al-Mufassirun 1/13, Manna al-Qattan, Mabaahits fi Ulumi al-Quran hal : 323.
[2] Abdul Hamid al-Bilaly, al-Mukhtashar al-Mashun min Kitab al-Tafsir wa al-Mufashirun, (Kuwait: Daar al-Dakwah, 1405) hal. 8
[3] Marfu' adalah perkataaan atau perbuatan yang disandarkan kepada Nabi Muhammad.
[4] Mauquf adalah perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada para sahabat.
[5] Majmu' fatawa syaikhul Islam Ibnu Taimiyah 13/370 dan buku mabahits fi ulumul al-Quran oleh Manna al-Qotton hal ; 340-342
0 comments:
Post a Comment